Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad yang juga dikenali sebagai Koop Sahabat telah ditubuhkan secara rasminya pada 30 Ogos 2012 dan ibu pejabat bertempat di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur. Koop Sahabat ditubuhkan bagi menzahirkan misinya iaitu memperkasakan modal insan dan menambah kecekapan dan mengagihkan pendapatan tahunan kepada sahabat melalui penubuhan koperasi berkenaan.
Menyedari potensi besar yang dimiliki dalam segmen produk kosmetik yang begitu sinonim dengan golongan wanita, Koop Sahabat telah mengambil langkah untuk memanfaatkan peluang yang ada dengan memperkenalkan rangkaian produk kecantikan Duta Beautee.
Produk Duta Beautee dihasilkan dengan formulasi yang berkualiti dan pastinya menjadi produk ‘BFF No.1 Wanita’ kerana ia mampu menyelesaikan pelbagai masalah yang sering dikaitkan dengan golongan berkenaan. Selain itu, ia turut ditawarkan dengan harga yang mampu milik dan tidak membebankan.
Menurut koperasi berkenaan, menerusi pelancaran produk Duta Beautee itu juga, ia mampu menyediakan platform perniagaan yang kukuh dalam usahanya membantu usahawan wanita dalam menjana pendapatan, terutamanya kepada anggota Koop Sahabat.
Bercerita mengenai keunikan produk kosmetik berkenaan kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini, ia berkata sinonim dengan fitrah wanita yang cintakan kecantikan, Koop Sahabat menampilkan produk kosmetik premium yang mampu meningkatkan penampilan dan keyakinan wanita bekerjaya atau suri rumah.
“Seperti yang kita tahu, ramai suri rumah yang berasa rendah diri dengan penampilan mereka, mungkin kerana mereka tidak bekerja dan tidak perlu keluar berjumpa orang setiap hari. Jadi, kami memperkenalkan rangkaian produk yang menjadi pilihan mereka kerana ia mudah dipakai dan harganya yang mampu milik.
“Selain itu, antara keunikan lain yang terdapat pada rangkaian produk Duta Beautee ini adalah ia menghasilkan ‘finishing’ yang setanding dengan jenama terkemuka lain di pasaran,” kata Koop Sahabat lagi.
Ditanya bagaimana keunikan produk Duta Beautee ini dapat memberikan kelebihan kepada perkembangan perniagaan Koop Sahabat, organisasi itu berkata pihaknya akan sentiasa menampilkan tutorial solekan baharu menggunakan produk berkenaan.
Dalam tempoh penghasilan produk, pihak pengurusan amat berhati-hati dalam membuat pilihan terbaik bagi pemilihan warna ‘pallet’ dan ‘liptick’. Ia bagi memastikan, pengguna yang menggunakan produk Duta Beautee bersesuaian dan kekal jelita tidak mengira peringkat usia dan golongan di samping menghasilkan gaya yang menarik untuk diikuti.
“Selain itu, kami juga menyasar untuk menguatkan penjenamaan melalui pengiklanan promosi serta mengekalkan harga yang kompetitif,” katanya lagi.
Memandangkan rangkaian produk Duta Beautee dilancarkan semasa negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 iaitu pada Jun 2021, pihak Koop Sahabat tekad untuk meneruskan misi mereka dalam membantu anggotanya menjana pendapatan.
“Walaupun terpaksa menempuh cabaran penularan wabak Covid-19 yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun Koop Sahabat tekad untuk meneruskan misi dalam membantu anggota Koop Sahabat untuk menjana pendapatan sepanjang PKP.
“Usaha itu berhasil apabila kami kini sudah melakar nama dalam industri kecantikan dan telah menjadi pilihan nombor satu untuk 13 stokis sah dan 39 ejen sah yang telah mendaftar di seluruh negara,” katanya.
Ditanya mengenai sasaran yang hendak dicapai dalam tempoh tiga tahun lagi, Koop Sahabat berkata mereka merancang untuk terus mengukuhkan jenama produk berkenaan melalui gabungan rakan strategik pemasaran dipilih untuk menyampaikan fakta tepat produk Duta Beautee kepada pelanggan. Suku tahun keempat tahun 2022, Duta Beautee bakal melakar sejarah dengan menampilkan produk ‘skin care’ Duta Beautee khas untuk lelaki dan wanita. Ia merupakan set lengkap bagi produk-produk di bawah Duta Beautee.
“Koop Sahabat mahu terus mengangkat martabat wanita terutama anggota kami yang memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek dan ia terbukti amat membanggakan.
“Kini, kita dapat melihat bahawa peranan dan sumbangan wanita itu sendiri terhadap ekonomi negara semakin ketara hari demi hari,” tambahnya lagi.