D’ITA Hair & Beauty Saloon mahu perluas perniagaan sambal dan salun

Perniagaan makanan antara yang mendapat perhatian ramai masyarakat dan banyak usahawan yang terbukti berjaya apabila menceburi bidang berkenaan.

Produk makanan seperti sambal misalnya antara yang memenuhi  laman sosial  dengan pengiklanan berkesan yang menarik ramai pelanggan  mencuba produk usahawan tempatan ini.

Memiliki produk makanan dengan citarasa berbeza adalah tiket utama memastikan perniagaan yang dibin terus kekal maju dan berdaya saing.

Melihat reaksi positif daripada permintaan pelanggan, usahawan, Dewi Yuslita Mohd Yusoff, memperkenalkan dan memulakan perniagaan menjual sambal bermula pada tahun 2010 lalu. Kini, lebih 10 tahun beliau berada dalam bidang keusahawanan menambah keyakinan diri untuk terus kekal dalam bidang yang diceburi ini.

“Perniagaan saya bermula pada tahun 2010 lagi. Pada mulanya perniagaan saya hanya memodalkan daripada pelanggan yang datang dari salun saya untuk saya meluaskan lagi perniagaan saya sehingga ke hari ini,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Setiap produk keluaran beliau memiliki citarasa dan keistimewaan tersendiri yang menarik pelanggan untuk setia mendapatkan produknya.

“Keunikan produk saya hanya pada sambal penyet petai yang tidak ada dari mana-mana kedai makan sekarang ini. Ia memang unik dan lain daripada yang lain hasil resepi istimewa saya ini khas untuk pelanggan setia,” katanya.

 Beliau yang kini berusia 41 tahun berkata, sama seperti usahawan lain yang menceburi pelbagai bidang, beliau berharap dan memasang impian untuk melihat hasil tangannya itu dikenali di serata negeri.

“Saya ingin perniagaan saya iaitu sambal penyet petai dikenali di seluruh negeri dan juga saya mahu sambal saya ini  dikenali  di luar negara  iaitu Sabah dan Sarawak.

“Semoga hasrat saya untuk mengembangkan perniagaan sambal ini dapat dicapai dengan jayanya,” katanya.

Sememangnya, kata beliau yang berasal daripada Kampung Bandar Dalam Sentul, Kuala Lumpur ini, menjalankan perniagaan ketika pandemik  melanda negara bukan perkara mudah untuk dilalui namun semangat juang untuk terus berusaha maju jaya, mengembalikan beliau di landasan yang  tepat.

“Ia satu keadaan yang sangat mencabar kepada ekonomi negara dan juga mana-mana perniagaan termasuk perniagaan saya menurun secara mendadak ketika itu. Tetapi saya bangkit semula mengejar impian saya,” katanya.

Beliau juga berharap dalam tempoh tiga tahun lagi, impiannya dalam bidang keusahawanan dan memperkenalkan produk air tangannya itu dapat dicapai selari dengan perkembangan semasa.

“Saya ingin capai sasaran untuk meningkatkan jualan dan produk perniagaan saya. Selain itu, saya juga berhasrat dan mempunyai keinginan untuk membuka satu lagi cawangan salun kecantikan di negeri Perak dan ini keinginan mendalam saya selama ini,” katanya.

Baginya, untuk itu, tiada istilah putus asa dan beliau mahu terus berjuang untuk membangunkan perniagaan yang dibangunkan daripada perit jerih dan keringatnya itu.

“Oleh itu, saya akan terus berjuang dalam membangunkan dan memajukan perniagaan saya ini walau apa sahaja rintangan yang melanda.

“Ini semuanya atas dasar semangat demi membesarkan anak-anak dan demi keluarga saya untuk masa depan akan datang yang lebih baik. Ini harapan saya untuk perniagaan dan keluarga yang saya sayangi.

Semestinya, sebagai ibu, anak anak adalah tiang kekuatan baginya dan harapan untuk melalui apa saja cabaran dan rintangan dalam perniagaan.

Beliau mahu membina kehidupan keluarga yang lebih baik dan terjamin. Lantaran itu, beliau melihat perniagaan adalah satu bidang yang dapat membantu beliau menggapai impian itu.