Ctos Rehab & Recovery tawar program rawatan khusus mengikut keperluan individu

Pengalaman yang dikumpul selama beberapa tahun semasa berkhidmat secara sambilan sebagai juruterapi otot profesional telah membuka jalan buat Nur Mashitoh Mukhtar untuk berkecimpung dengan lebih serius dalam bidang berkenaan.

Pada usia yang masih muda, Nur Mashitoh membuat keputusan untuk menubuhkan syarikatnya yang diberi nama Maniac Fitness & Recovery pada tahun 2017. Bagi memantapkan lagi operasi syarikat, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk menjenamakan semula syarikat kepada Ctos Rehab & Recover pada tahun 2020.

Bercerita lebih lanjut, anak kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata Ctos Rehab & Recovery adalah sebuah pusat rawatan rehabilitasi yang mempunyai visi memberikan pelanggannya merasai semula satu dunia yang sebelum ini tidak dapat mereka nikmati berikutan masalah ketidakseimbangan otot menerusi #feellikeyourselfagain.

Usahawan wanita berusia 29 tahun itu berkata antara keunikan perkhidmatan yang ditawarkannya adalah khidmat juruterapi yang yang berupaya memberikan program rawatan spesifik mengikut setiap individu yang berlainan jantina, usia dan kemampuan fizikal (Tailored/Custom Program) untuk mendapatkan hasil rawatan dan latihan yang positif dimana mereka boleh kekal aktif tanpa kesakitan.

“Antara program yang ditawarkan adalah program pemulihan terkini dan terbukti serta sumber rujukan pakar bertaraf dunia, Program Pemulihan Kecederaan Kecederaan Bersepadu bermula dengan pra intervensi seperti pemeriksaan Muscoloskeletal, penilaian postur dan penilaian ketidakseimbangan otot serta Program Kesejahteraan Korporat,” jelasnya lagi.

Nur Mashitoh berkata  antara kelebihan perkhidmatan yang mereka tawarkan adalah dengan memastikan hasil rawatan yang bertepatan dengan keadaan pelanggan dan tidak menggunakan rawatan yang sterotype atau sama saja untuk setiap pelanggan.

“Ini kerana pelanggan kami terdiri daripada mereka yang berbeza umur dan keaadaan fizikal, jadi rawatan khusus akan diberikan mengikut keperluan keadaan kesihatan mereka.

“Selain itu, kami juga turut menyasar untuk menembusi pasaran korporat sebagai pembekal perkhidmatan rawatan rehabilitasi otot profesional mereka untuk membawa syarikat kami lebih maju lagi dalam industri ini.

“Di samping itu, antara keunikan lain yang kami tawarkan adalah rawatan menggunakan teknologi LAE sebagai salah satu modus rawatan akan memberi kelainan kepada kami berbanding syarikat lain dalam industri ini,” ujarnya panjang lebar mengenai perkhidmatan yang Ctos Rehab & Recovery tawarkan.

Beliau berkata, pandemik yang berlaku tiga tahun lalu juga telah memberikan impak kepada perniagaannya.

Bagaimanapun, situasi berkenaan juga telah memberikan kesedaran kepadanya mengenai kepentingan pemasaran dalam talian serta kepentingan untuk mempelbagaikan perkhidmatan seperti memperkenalkan produk berasaskan LAE.

“Apa yang paling penting adalah melatih diri dan syarikat untuk terus bertahan kerana bidang ini amat diperlukan. Selain itu, saya juga mempelajari kepentingan penyediaan tabungan survival syarikat bagi menghadapapi keadaan ekonomi tidak stabil seperti semasa pandemik yang lalu,” tambahnya lagi.

Ditanya mengenai perancangannya dalam tempoh tiga tahun akan datang, beliau menyasar untuk menembusi pasaran korporat sebagai penyedia perkhidmatan rehabilitasi kecederaan ekslusif dan menjalankan pelbagai kerjasama bersama persatuan masayarakat, persatuan pekerja, klinik dan gimnasium.

“Saya mahu terus berjuang dalam membangunkan perniagaan ini. Antara sumber kekuatan saya untuk tidak berputus asa dan terus berjuang adalah para pesakit saya yang amat menghargai perkhidmatan saya dalam membantu mereka meningkatkan semula keupayaan fizikal dan bangkit dari kecederaan.

“Selain daripada itu, saya juga menerima sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada keluarga dan rakan-rakan dan dorongan itu akan saya jadikan sebagai azimat untuk terus bertahan dan berjuang dalam bidang ini,” katanya lagi.