Dunia kanak-kanak tidak seharusnya dibebani dengan pembelajaran akademik dan mereka sepatutnya digalakkan untuk meneroka idea kreatif bagi memastikan proses tumbesaran yang seimbang. Jika diberi peluang, kanak-kanak ini mampu mengeluarkan idea di luar jangkaan dan dalam masa yang sama, mereka berasa seronok dengan setiap proses penghasilan idea kreatif yang berlaku.
Bagi anda yang tercari-cari pusat pendidikan yang menyediakan perkhidmatan pembelajaran seni digital bagi kanak-kanak, Creative Sandbox adalah jawapanya. Diusahakan oleh Nur Atiqah Ahmad, Creative Sandbox yang beroperasi di Cyberjaya itu menawarkan platform bagi pendidikan multimedia kreatif bagi kanak-kanak di negara ini.
Creative Sandbox ditubuhkan selepas Nur Atiqah menyedari kanak-kanak juga boleh menghasilkan kandungan digital yang menarik dan mengujakan.
Bercerita lanjut kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini, usahawan muda berusia 29 tahun itu berkata Creative Sandbox bermula daripada minatnya yang mendalam terhadap digital kreatif.
“Saya juga suka mengajar kanak-kanak. Sewaktu di universiti, saya mengajar secara sambilan untuk anak pensyarah universiti. Dari situ bermulanya idea untuk menjadikan kursus digital untuk kanak-kanak lebih kreatif di zaman digital ini.
“Apa yang unik mengenai perkhidmatan kami adalah jika diluar sana terdapat pelbagai pusat yang berlandaskan seni tangan untuk kanak-kanak, Creative Sandbox menyediakan modul seni kreatif secara digital.
“Tidak dinafikan, ada juga pelbagai pusat yang juga mengajar modul kreatif digital akan tetapi mereka tidak fokus kepada kanak-kanak dan modul kami lebih mudah difahami kanak-kanak dengan menerapkan unsur praktikal lebih dari teori,” kata anak kelahiran Melaka ini lagi.
Mengulas lanjut, Nur Atiqah berkata sepanjang Creative Sandbox beroperasi, mereka dapat pergi lebih jauh kerana namanya yang sudah agak dikenali.
“Jika dilihat daripada hasil carian di Google, “Multimedia Class For Kids” pastinya kami di carta teratas. Selain itu, Creative Sandbox juga banyak menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan, seperti contoh, MDEC, Petrosains, Pusat Kreatif Kanak-Kanak Bainun, Cyberview dan banyak lagi dalam usaha untuk mengembangkan lagi syarikat kami.
“Selama kami beroperasi, kami tidak pernah terfikir untuk membuat kelas secara dalam talian tetapi pandemik yang berlaku telah mengajar kami untuk mencuba sesuatu yang baru kerana kelas secara fizikal tidak dapat dijalankan.
“Alhamdulilah kelas dalam talian kami adalah sesuatu yang diluar jangkaan kami. Dari situ kami belajar yang kami seharusnya berani dalam meneruskan perniagaan dan tidak takut mencuba perkara yang baru,” katanya ketika menjawab mengenai pelajaran yang diperoleh daripada pandemik Covid-19 yang melanda negara kira-kira dua tahun yang lalu.
Ditanya mengenai sasaran yang mahu dicapai dalam tempoh tiga tahun lagi dan bagaimana beliau mahu mencapainya, Nur Atiqah berkata beliau mahu mencapai sekurang-kurangnya 1000 pelajar aktif yang mendaftar dibawah Creative Sandbox dan juga mempunyai pusat kanak-kanak kreatif sendiri untuk mereka berkarya bersama sama di Creative Sandbox.
“Kami juga menyasar untuk mempunyai beberapa cawangan lain sama ada di sekitar Lembah Klang atau di negeri lain. Ini penting kerana kami mahu menawarkan lebih banyak peluang untuk kanak-kanak lain mendaftar dan mencuba sendiri modul seni kreatif digital yang kami tawarkan.
Walaupun usianya masih muda dan dianggap baru dalam bidang perniagaan, Nur Atiqah nekad untuk terus membangunkan Creative Sandbox ke tahap yang lebih tinggi.
“Apa yang membuatkan kami tidak berputus asa adalah kanak-kanak ini yang berusaha menghasilkan kandungan mereka sendiri dan mereka menggemari perjalanan kreatif digital ini.
“Itu yang membuatkan kami masih bertahan sehingga sekarang, malah ada kanak-kanak dari pusat kami yang mempunya rantaian komik dan animasi sendiri,” katanya lagi.