Roti, kek dan hidangan pencuci mulut yang lain sememangnya mempunyai penggemarnya yang tersendiri. Ramai yang tercari-cari produk roti yang gebu, lembut dan enak dimakan. Memandangkan produk-produk ini biasanya dikeluarkan dalam kuantiti yang banyak dari kilang, ramai penggemar roti dan kek memilih untuk mencari produk-produk berkenaan daripada ‘home baker’.
Menyedari ada permintaan yang tinggi bagi roti dan kek, Zunaida Mamat mula mengusahakan perniagaan Aieda Delicious secara separuh masa.
Usahawan wanita berusia 49 tahun itu berkata beliau bermula dari rumah dan dengan hanya berbekalkan modal sebanyak RM200, beliau mula membeli peralatan dan bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kek.
“Saya masih ingat lagi, produk jualan pertama saya adalah Kek Batik Legend. Tidak saya sangka, kek batik berkenaan mendapat tempahan yang tinggi dan digemari oleh penduduk di kawasan sekitar saya tinggal.
“Apabila hasil jualan semakin meningkat, dari situ say amula menyimpan sedikit demi sedikit bagi mengumpul modal untuk membeli peralatan lain seperti mesin pembancuh (mixer) dan juga ketuhar.
“Bagi memantapkan lagi ilmu saya dalam bidang pembuatan roti dan kek dan demi menambah pengetahuan, say amula mengikui kelas-kelas yang mengajar cara membuat produk bakeri seperti roti dan kek,” katanya yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.
Bercerita lebih lanjut mengenai produknya, Zunaida berkata ia dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan premium bagi mendapatkan rasa yang premium.
“Walaubagaimanapun, harga yang dijual adalah mampu milik kerana saya ingin lebih ramai pelanggan membeli produk saya.
“Dengan strategi mengekalkan harga mampu milik walaupun menggunakan bahan mentah yang berkualiti tinggi, ia membantu saya untuk kekal bertahan.
“Inilah keunikan yang ada pada produk Aieda Delicious dan saya berharap ia mampu membawa perniagaan ini ke peringkat yang lebih tinggi dan sentiasa mendapat tempahan daripada pelbagai pihak,” tambahnya lagi.
Bergelar usahawan, sudah pasti ada cabaran dan dugaan yang perlu ditempuhi. Tidak lengkap rasanya jika seseorang usahawan itu tidak diuji kerana proses itulah yang membuatkan mereka lebih matang dalam mengemudi syarikat mereka.
Begitu juga dengan Zunaida yang mana beliau turut terkesan dengan ujian pandemik Covid-19 yang bukan saja melanda negara malahan satu dunia turut berhadapan dengan cabaran yang sama.
“Apa pun, saya berpendapat bahawa situasi pandemik yang berlaku bukanlah sesuatu yang harus ditangisi sebaliknya ia patut diisi dengan sesuatu yang lebih baik.
“Saya menggunakan peluang sekatan perjalanan dan pergerakan untuk meningkatkan jualan dari rumah, memandangkan ramai orang yang tidak boleh keluar ke mana-mana untuk membeli barang.
“Langkah yang diambil itu membuahkan hasil apabila saya bukan sahaja dapat mengekalkan pendapatan saya malah pendapatan pekerja saya juga tidak terjejas. Alhamdulillah,” ujarnya.
Ditanya mengenai sasaran yang mahu dicapai dalam tempoh tiga tahun lagi, Zunaida berkata beliau menyasar untuk memasarkan produk bakeri keluarannya dapat berada di setiap pelusuk tanah air.
“Selain itu, saya juga berharap ia dapat dipasarkan ke peringkat antarabangsa. Ini bukanlah satu perkara yang mustahil kerana dengan adanya bimbingan daripada agensi yang membantu usahawan, saya yakin ia dapat dicapai.
“Dalam mengemudi syarikat, saya tidak akan sesekali berputus asa dan akan terus berjuang untuk membangunkan perniagaan saya.
“Ia bagi memastikan saya dapat meningkatkan ekonomi keluarga saya dan pekerja dan mampu menuju ke arah hidup yang lebih baik dan bermakna untuk semua orang,” katanya menutup bicara.