Bermula secara ‘freelance’, Ziyad tawar perkhidmatan baiki telefon secara serius menerusi You Two Protech

Pembabitan anak muda bernama Ziyad Danish dalam bidang perniagaan bermula secara kebetulan semasa beliau masih menyambung pengajian di university. Semuanya bermula apabila komputer riba rakannya rosak dan beliau menghantarnya ke sebuah kedai membaiki komputer.

Pemilik kedai itu kemudiannya mencadangkan rakan Ziyad untuk membuat pendapatan sampingan dengan menukar skrin dan bateri telefon.

Rakannya itu kemudian mengusulkan perkara berkenaan kepada Ziyad dan mereka berdua bersetuju untuk menjadi rakan kongsi dan terus membuat poster untuk menghebahkan mengenai perkhidmatan mereka.

Usahawan muda berusia 26 tahun itu berkata pada awalnya, mereka belajar cara membaiki telefon pintar hanya menerusi YouTube.

“Namun begitu, memandangkan kami berdua mahu terus serius dalam bidang ini, kami menyertai kursus baik pulih telefon yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia Selangor.

“Kami kemudiannya menubuhkan syarikat yang dikenali sebagai Mr AZ Technology. Bagaimanapun, selepas dua tahun penubuhan, saya dan rakan terpaksa berpisah kerana beliau tinggal di Sabah dan saya pula pulang ke Terengganu.

“Akhirnya saya membuat keputusan untuk bergerak secara solo dan menubuhkan You Two Protech Services pada tahun 2019,” ujar anak kelahiran Johor itu lagi kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Ditanya mengenai keunikan perkhidmatan yang ditawarkan You Two Protech Services, Ziyad berkata antara ialah servis baik pulih iPhone kerana beliau mempunyai kepakaran dalam membaiki ‘motherboard’ iPhone.

“Selain itu, kami juga menawarkan servis tukar skrin LCD dan bateri untuk semua jenis telefon pintar tidak kiralah iPhone mahupun Android.

“Memandangkan saingan daripada syarikat lain yang menawarkan perkhidmatan sama agak sengit, saya cuba untuk menjada reputasi syarikat saya sebagai pakar dalam khidmat baik pulih ‘motherboard’ iPhone dengan sebaik mungkin.

“Saya akan pastikan kualiti kerja dan juga kualiti barang gantu yang kami gunakan adalah menepati standard yang ditetapkan. Selain itu, kami juga menawarkan harga yang rendah tanpa berkompromi dengan aspek kualiti.

“Kebiasaannya, kes-kes membabitkan kerosakan ‘motherboard’ mengambil masa antara satu jam hingga tiga hari waktu bekerja untuk dibaiki. You Two Protech Services juga menawarkan khidmat membaiki telefon bimbit secara bersemuka,” ujarnya lagi.

Ziyad berkata, memandangkan beliau membuka cawangan pertama You Two Protech Services sebulan sebelum Malaysia dikenakan Perintah Sekatan Pergerakan (PKP), beliau benar-benar terduduk dengan ujian yang harus ditempuhi.

“Waktu itu saya memang mati kutu, tapi saya harus bangkit dan tidak boleh menyerah kalah. Jadi, saya mengambil kesempatan untuk membuat servis baiki telefon dari rumah ke rumah dengan mengamalkan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ketat selain mendapatkan kebenaran perjalanan di balai polis berhampiran.

“Pengalaman ternyata mematangkan saya dalam mengemudi perjalanan syarikat. Dalam tempoh tiga tahun lagi, saya menyasar untuk mengembangkan perniagaan ke beberapa buah negeri selain menambah jumlah pakar dalam setiap perkhidmatan yang saya tawarkan.

“Ini termasuklah pakar baiki ‘Face ID’, pakar tukar cermin, pakar perisian dan sebagainya. Apa yang penting, saya mahu terus mengekalkan harga yang mampu dibayar,” katanya lagi.

Ziyad berkata, antara kekuatan yang mendorongnya terus berkecimpung dalam dunia perniagaan adalah kedua ibu dan bapanya.

“Sebenarnya, saya sudah banyak kali berhadapan dengan kegagalan semasa menceburi perniagaan lain. Hanya dengan servis baiki telefon ini sahaja saya dapat bertahan sehingga kini dan saya akan pastikan saya tidak akan gagal lagi kali ini,” katanya lagi.