Azmaney Kitchen: Lasagna pertama dengan citarasa tempatan

Bergelar seorang ibu tunggal ternyata bukanlah satu halangan untuk Azmani Muhammad terus mengorak langkah menuju ke arah kejayaan. Wanita yang berusia 40 tahun itu cukup tabah dalam mengharungi liku kehidupan yang sudah direncanakan untuknya.

Berbekalkan semangat dan cita-cita yang besar untuk melawat seberapa banyak negara lain di dunia ini, anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu terus berusaha sebaik mungkin untuk terus mengubah nasibnya.

Beliau yang mengusahakan perniagaan Azmaney Kitchen mengeluarkan produk lasagna pertama di Malaysia yang diberi sentuhan tempatan iaitu rendang dan sambal bilis.

Menurut Azmani, produk lasagna keluarannya sebelum ini menggunakan daging pejal kisar yang semestinya kurang berlemak.

“Kini, kami menambahbaik produk lasagna dengan menggunakan kepingan daging pejal, bukan lagi daging kisar. Selain itu, hanya sayur segar yang digunakan dalam setiap penyediaan lasagna Azmaney Kitchen serta krim yang padu dengan taburan keju mozzarella dan parmesan,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Mengimbau kembali pembabitannya dalam bidang perniagaan, Amani berkata perniagaannya didaftarkan pada tahun 2016 dan selepas dua tahun, beliau mula memasarkan perniagaannya menerusi platform perniagaan di Facebook.

“Memandangkan produk lasagna syarikat saya mendapat sambutan yang amat menggalakkan, saya semakin yakin untuk memasarkannya secara ‘offline’ dengan memasuki pasaraya seperti Lesong Mart.

“Seterusnya, semasa negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama pada tahun 2020, saya mengambil kesempatan untuk membangunkan laman web Azmany Kitchen.

“Pada tahun ini, selepas PKP berakhir, saya mengambil langkah yang lebih agresif dengan memanfaatkan peluang yang disediakan oleh kerajaan dalam membantu usahawan yang terjejas akibat wabak Covid-19,” katanya yang mengakui landskap perniagaan kini semakin mencabar.

Azmani yakin produk lasagna keluarannya mempunyai keunikan tersendiri kerana ia adalah gabungan barat dan tradisional pertama seumpamanya yang tersedia dalam satu hidangan.

“Ia boleh menjadi daya tarikan bukan sahaja kepada rakyat di negara ini tetapi juga kepada pelancong asing. Apa yang penting, kaedah pemasaran yang dijalankan haruslah tepat dan menyeluruh.

“Selain daripada itu, saya turut meletakkan sasaran yang harus dicapai dalam tempoh tiga tahun lagi iaitu memiliki premis sendiri yang lengkap dengan pensijilan yang diperlukan seperti halal, Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), pengiktirafan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) dan sebagainya.

“Kesemua piawaian itu penting untuk mengembangkan perniagaan bukan sahaja ke seluruh negara tetapi juga ke luar negara. Bagaimanapun, perancangan ini memakan kos yang besar dan ia memerlukan suntikan modal dan dana bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga daripada pelabur luar yang sudi melabur dalam operasi syarikat,” katanya.

Mengulas lanjut, Azmani berkata pandemik Covid-19 yang berlaku juga meninggalkan cabaran yang besar kepada usahawan sepertinya kerana seperti yang diketahui, sector makanan dan minuman adalah antara yang terkesan dengan penularan wabak berkenaan.

Bagaimanapun, wanita cekal ini berkata beliau akan memastikan semangatnya terus berkobar dan terus berusaha bagi membolehkan perniagaannya menjadi lebih kukuh.

“Jangan mudah mengalah, jangan jadi lemah. Jika jatuh di tengah jalan, bangkit semula dengan segera. Sebagai usahawan, kita kena menjadi lebih kreatif dengan mencari peluang yang disediakan oleh kerajaan.

“Saya sentiasa berusaha sebaik mungkin dan kadang-kala bila hidup saya dilanda kesedihan kerana terdapat pelbagai halangan yang harus ditempuhi, ia tidak mematahkan semangat saya untuk membangunkan jenama Azmany Kitchen agar ia lebih dikenali di seluruh negara,” katanya.