Di negara ini, rempah ratus antara pilihan popular untuk dijadikan sebagai salah satu ramuan masakan samada ketika memasak di rumah atau makan di restoran. Ini kerana rakyat di negara ini gemar menikmati makanan pedas dan berempah, sesuai dengan selera rakyat negara ini yang berbilang kaum dan bangsa.
Rempah Laris keluaran AZ Laris Solution adalah satu jenama sebuah syarikat yang beroperasi membekal makanan sejuk beku seperti kambing perap, ayam panggang sejuk beku, ayam berperisa sos Korea, stik, daging tenderloin dan banyak lagi produk yang pastinya menggamit selera ramai untuk mendapatkan ia sebagai menu pilihan seisi keluarga.
Kata pengusaha jenama ini, Khairul, semuanya bermula dengan kambing perap yang diberi nama ‘Black Diamond’ yang dijual kepada orang ramai dan mula mendapat perhatian ramai penggemar daging kambing.
Rempah Laris memulakan langkah perniagaan ketika Pandemik Covid-19 2020 lalu yang melanda negara.
Namanya yang begitu unik diberikan oleh pengasas produk oleh kerana resepinya dicipta sendiri oleh pengasas yang satu ketika dulu pernah bekerja di negara Afrika.
“Nama “black diamond” itu sendiri dikenali di Afrika oleh kerana ia sejenis batu permata yang begitu cantik dan menawan,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.
Kata anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, istimewanya produk keluaran beliau adalah daging kambing yang diperap mempunyai tiga jenis sebagai pilihan kepada pelanggan setia mereka.
Tiga jenis daging kambing berkenaan adalah kambing pek premium yang memiliki isi daging yang begitu lembut, ‘juicy’ dengan rasa yang premium untuk menjadi santapan seisi keluarga.
Manakala bagi kambing pek ‘black diamond’ pula, ia adalah pek yang sangat berpatutan kerana harga yang ditawarkan tidak terlalu mahal standing dengan rasa enaknya.
Sementara itu, bagi pek jimat pula dikeluarkan sebagai satu edisi khas untuk pelanggan yang baharu ingin mencuba produk kambing perap keluaran jenama ini. Harganya juga berbaloi yang mana satu pek sekilogram ia hanya dijual dengan harga RM 39.90.
“Kami juga mempunyai ayam panggang, kepak ayam, daging stik, daging tenderloin dan ayam Korea untuk dijual kepada pelanggan,” katanya.
Usahawan berusia 39 tahun ini, berkata banyak ilmu dan pendedahan positif yang boleh diambil sepanjang pandemik melanda negara.
Antaranya, pandemik sudah membuka mata ramai masyarakat untuk mencari pendapatan sampingan daripada sumber perniagaan oleh kerana kegawatan ekonomi yang melanda semasa pandemik menyebabkan ramai golongan masyarakat terkesan apabila hilang pekerjaan yang menjadi sumber pendapatan mereka selama ini.
Sama seperti usahawan lain, beliau ingin mencapai matlamat dalam memajukan perniagaan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Antara harapannya beliau adalah mengimpikan untuk membuka cawangan perniagaan di seluruh negara selain memperkenalkan kehebatan jenama perniagaan yang dipeloporinya selama ini.
Kongsi beliau lagi, sebagai usahawan dan pengusaha produk makanan tempatan, tiada istilah mahu berputus asa memandangkan berada dalam bidang ini, ia banyak memberi motivasi diri kepada beliau dalam mengembangkan skala perniagaan untuk terus berdaya saing.
“Oleh kerana perniagaan ini dibangunkan semasa pandemik untuk saya mencari rezeki dan ianya dapat bertahan serta berterusan sehingga hari ini, perniagaan ini akan diteruskan dan saya berniat untuk menurunkan perniagaan ini kepada anak-anak satu hari nanti.
“Ianya akan menjadi legasi perniagaan keluarga dan ini harapan besar saya terhadap perniagaan yang dibina ini,” katanya.