Atfal Jannah tawar pendidikan khusus untuk kanak-kanak kurang upaya

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sekurang-kurangnya 15 peratus daripada populasi sesebuah negara terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Di Malaysia, peratusan ini bersamaan dengan 4.8 juta orang. Walaubagaimanapun, jumlah OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) hanyalah sekitar 587,608. Statistik ini menunjukkan betapa perlunya pusat jagaan dan rehabilitasi bagi menyantuni golongan OKU terutamanya kanak-kanak daripada segi pertumbuhan dan perkembangan mereka.

Situasi ini telah memberi ilham kepada Azlina Roszy Bt Mohamad Ghaffar, seorang psikologi klinikal lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mengasaskan rangkaian pusat psikologi dan rehabilitasi untuk kanak-kanak dan remaja berkelainan upaya.

Sebagai seorang yang berkecimpung dalam bidang psikologi sejak tahun 2006, beliau sangat berkemahiran menguruskan kes psikologi klinikal kanak-kanak seperti Autism Spectrum Disorder (ASD), Attention-deficit Hyperactive Disorder (ADHD), Gangguan Perkembangan, Ketidakupayaan Pembelajaran dan yang berkaitan.

Berbekalkan pengalamannya yang luas dalam bidang berkaita, Azlina Roszy menubuhkan Atfal Jannah yang membawa misi yang sama dengan pusat jagaan dan rehabilitasi kanak-kanak yang ada sekarang.

Namun, kelainan yang diterapkan dalam falsafah dan model Atfal Jannah ialah pada perkaitan pendidikan Islam dalam setiap pembelajaran dan tumbesaran kanak-kanak berkelainan upaya ini.

Bercerita lanjut kepada Entrepreneur Insight, beliau berkata gerakan atas dasar akidah yang sejahtera akan melahirkan generasi yang sejahtera biarpun mereka wujud dalam pelbagai rupa, keupayaan dan kecenderungan.

“Proses memberi kesedaran adalah hal yang paling mustahak dalam pembinaan seseorang individu, tidak kiralah mereka dalam keadaan normal mahupun kurang upaya. Ini kerana, dengan kesihatan mental yang kuat, tubuh badan boleh digerakkan dengan sebaik mungkin bagi mencapai satu matlamat kehidupan yang tinggi.

“Inilah yang cuba ditawarkan oleh Atfal Jannah kepada pelanggan kami dan masyarakat di samping usaha untuk menjaga kebajikan dan menyediakan pendidikan khusus buat kanak-kanak berkelainan upaya,” ujarnya.

Azlina Roszy berkata operasi Atfal Jannah juga berhadapan dengan cabaran pada tahun 2019 apabila dunia dikejutkan dengan wabak Covid-19.

“Sama seperti dengan sistem pendidikan dan persekolahan aliran perdana, kami perlu menyesuaikan operasi dengan alternatif baharu iaitu pelaksanaan melalui atas talian dan ia dianggap sebagai satu fasa yang mencabar dan di luar zon selesa.

“Jika orang awam pernah mengendalikan golongan OKU dalam urusan seharian, mereka pasti faham bahawa kontak fizikal adalah elemen penting bagi memastikan pengurusan dan pembelajaran mereka berjalan dengan lancar.

“Penjarakan fizikal sebagai usaha untuk mengelakkan penyebaran wabak boleh dianalogikan sebagai guru yang sedang mengajar murid yang memakai penutup mata dan tidak dapat melihat guru di depan mata.

“Boleh dibayangkan bagaimana murid itu tidak mudah untuk melihat dan menerima input baharu apatah lagi untuk menguasai satu-satu kemahiran,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata keadaan ekonomi yang merudum dan ramai rakyat hilang pekerjaan sepanjang dua tahun itu telah mengakibatkan ramai pelanggan Atfal Jannah terpaksa berhenti daripada meneruskan pengajian anak mereka.

“Bagi pihak kami, ia memberi kesan langsung kepada perkembangan aliran tunai syarikat dan semestinya berkait dengan tanggungan kos syarikat yang lain.

“Antara adaptasi yang dilakukan bagi memastikan operasi Atfal Jannah boleh berjalan ialah dengan meningkatkan penglibatan dengan masyarakat secara lebih meluas berbanding khusus kepada pelanggan.

“Seminar dan forum yang diadakan secara atas talian disusun supaya pendidikan kepada golongan ini dapat diteruskan walaupun mereka tidak ada secara fizikal di Atfal Jannah,” katanya.

Azlina Roszy berkata pengalaman yang ditempuhi itu juga membuka matanya dan menguatkan lagi matlamat Atfal Jannah untuk menjadi sebuah badan yang unggul, diyakini serta dihormati dalam membela dan membangunkan pendidikan kanak-kanak istimewa.

“Selari dengan falsafah dan model yang disebut di atas, kami percaya bahawa tugas murni ini adalah atas dasar menunaikan tanggungjawab khalifah di muka bumi dalam apa jua keadaan dan cabaran. Inilah yang memberi motivasi kepada kami untuk terus berkhidmat buat golongan kanak-kanak OKU di seluruh Malaysia,” katanya.