Pandemik Covid-19 yang melanda negara dua tahun lalu telah melumpuhkan sistem persekolahan apabila semua sekolah ditutup dan proses pengajaran serta pembelajaran perlu dibuat secara dalam talian.
Situasi getir ini telah membuka jalan kepada penubuhan ALPHA Academy di bawah kelolaan Abdul Hafidz Russly. ALPHA adalah singkatan kepada ‘Alternative Private Homescool’ yang menawarkan perkhidmatan pembelajaran berdasarkan silibus dari Kementerian Pelajaran Malaysia tetapi dengan menggunakan pendekatan ‘1-on-1’.
Ketika ditemubual Entrepreneur Insight baru-baru ini, usahawan berusia 37 tahun itu berkata ALPHA Academy bermula pada Jun 2020 iaitu semasa dunia sedang dilanda wabak covid-19 dan persekolahan anak-anak adalah sepenuhnya secara atas talian.
“Waktu itu, banyak keluhan ibubapa tentang kesukaran untuk anak-anak mereka mengikuti dan fokus dengan pembelajaran atas talian. Justeru, kami tampil untuk membantu dengan memberi penyelesaian alternatif kepada ibubapa supaya anak-anak mereka tetap dapat mengikuti pembelajaran seperti biasa dan lebih menarik lagi.
“Kami juga menawarkan bantuan untuk permasalahan pembelajaran yang dihadapi oleh setiap anak-anak secara individu melalui pendekatan 1-on-1,” katanya yang berasal dari Sungai Merab, Selangor.
Abdul Hafidz berkata keunikan perkhidmatan yang disediakannya adalah pendekatan pembelajaran secara ‘1-on-1’ yang dilaksanakan secara ‘homeschool-based’ bagi memberikan suasana pembelajaran yang selesa dan bebas seperti di rumah namun masih memenuhi tatacara piawaian operasi (SOP) pada waktu itu.
“Kelebihan kami juga pada aktiviti ‘hands-on’ terutamanya aktiviti sensori kerana aktiviti sensori adalah asas penting bagi perkembangan awal setiap kanak-kanak supaya mereka lebih bersedia dan membantu dalam pembelajaran mereka.
“Di samping itu juga, kami turut menyediakan aktiviti ko-kurikulum yang diajar oleh guru-guru terlatih seperti renang, memanah dan kesenian,” tambahnya lagi.
Mengulas mengenai kelebihan perkhidmatannya, beliau berkata pendekatan pembelajaran yang ditawarkan di ALPHA Academy adalah berbeza dengan pendekatan di sekolah yang mengamalkan pengajaran dan pembelajaran secara konvensional.
“Walaupun sekolah sudah dibuka seperti biasa dan tidak lagi belajar di atas talian, pendekatan dan konsep ‘homeschool-based’ ini masih berbeza dan relevan untuk anak-anak yang memerlukan.
“Tambahan lagi aktiviti sensori yang disediakan juga membantu pelajar sebagai persediaan untuk memulakan asas pembelajaran membaca, menulis dan mengira (3M),” katanya.
Walaupun beliau memulakan perniagaan ALPHA Academy semasa pandemik, Abdul Hafidz berkata situasi yang berlaku telah mengajar saya supaya menjadi lebih kreatif dalam mencari jalan penyelesaian.
“Selain itu, sebagai usahawan kita perlu menanam sikap sediakan payung sebelum hujan yang mana kita perlu lebih bersedia jika ada halangan yang berlaku. Kita juga perlulah mempunyai lebih daripada satu rancangan sahaja bagi memudahkan kita untuk membuat keputusan di saat yang sukar.
“Dalam masa 3 tahun lagi kami berharap dapat membuka cawangan di Cyberjaya dan Kuala Lumpur. Untuk mencapai sasaran ini, kami perlu lebih aktif untuk mempromosikan perkhidmatan ALPHA Academy dan menyebarkan kelebihan yang kami ada dan juga keputusan positif yang pelajar kami peroleh.
“Di samping itu, kami juga akan meningkatkan lagi kualiti servis dan mempelbagaikan program pembelajaran supaya dapat menarik minat lebih ramai kategori pelajar sekaligus membantu perkembangan pelajaran mereka,” ujarnya Panjang lebar.
Ditanya mengenai faktor yang membuatkannya tidak berputus asa dan mahu terus berjuang membangunkan perniagaan, Abdul Hafidz berkata beliau dan pasukannya perlu meneruskan perjuangan ini supaya kami dapat membantu lebih ramai pelajar yang memerlukan bantuan dalam pembelajaran mereka.
“Kami juga perlu terus berjuang untuk mencapai sasaran kami untuk tempoh lima tahun lagi iaitu membesarkan lagi pusat pembelajaran kami dengan menambahbaik servis agar ia sesuai dengan pelajar yang mempunyai kekurangan upaya daripada segi pembelajaran,” katanya.