Al-Insan Archery tawar kursus memanah, mahu jadikan ia legasi perniagaan turun-temurun

Sukan memanah adalah satu daripada sukan yang menjadi sunnah Nabi Muhammad SAW dan ia dilihat semakin mendapat tempat di kalangan rakyat negara ini sejak akhir-akhir ini. Golongan ibu bapa kian cenderung untuk menghantar anak-anak mereka untuk berlatih dan menguasai teknik memanah.

Kelas memanah Al-Insan Archery yang didaftarkan pada 14 Disember 2016 adalah satu jenama di bawah Pusat Memanah Bandar Bera. Beroperasi di Bera, Pahang, ia menawarkan perkhidmatan kelas memanah untuk pelbagai peringkat umur selain menjual peralatan memanah.

Pemiliknya Nurulkhamimi Rahmat berkata Al-Insan Archery juga menyediakan lapangan memanah yang terbuka dan tertutup bagi keselesaan ahlinya.

“Selain itu, kami juga menyediakan perkhidmatan untuk penganjuran bengkel atau kursus asas latihan memanah di sekolah-sekolah dan agensi-agensi kerajaan dan swasta. Sehingga kini, ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan kami dihujani pelbagai pertanyaan daripada mereka yang berminat,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, usahawan berusia 42 tahun itu berkata Al-Insan Archery bermula apabila beliau merasakan memanah merupakan satu aktiviti yang sangat bermanfaat kepada orang ramai.

“Ia juga menjadi satu aktiviti sukan yang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Menyedari hakikat itu, kami menganjurkan satu kelas asas memanah untuk kanak-kanak pada Jun 2016 dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat.

“Sejak dari itu, kami tidak menoleh kebelakang lagi. Kami meluaskan perniagaan kami dengan menyediakan lapangan memanah serta menjual peralatan memanah,” kata anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu lagi.

Beliau turut menjelaskan bahawa keunikan yang ada pada Al-Insan Archery adalah ia menawarkan kelas memanah dengan harga yang murah.

“Ini adalah faktor utama yang membantu kami mengembangkan operasi perniagaan. Dengan yuran yang tidak membebankan, ia dapat memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk menyertai kelas memanah, sesuai dengan kemampuan mereka,” katanya lagi.

Memandangkan aktiviti memanah memerlukan interaksi secara bersemuka serta kehadiran fizikal di lapangan, Nurulkhamimi berkata sudah tentu operasi kelas memanahnya terjejas semasa Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan wabak Covid-19 tahun lalu.

“Bagaimanapun, kami perlu mencari alternatif lain dan tidak boleh hanya menunggu perkara yang tidak pasti. Justeru, kami menawarkan kelas memanah yang focus kepada teori dan disampaikan secara dalam talian.

“Selain itu, kami juga menjual peralatan memanah di platfom media sosial seperti Facebook page, Instagram dan Shopee sebagai alternatif pasaran perniagaan semasa berlakunya pandemik. Ternyata, ia telah membantu kami meneruskan perniagaan dalam tempoh yang mencabar itu,” tambahnya.

Pemilik Al-Insan Archery itu juga berkata beliau telah mempunyai perancangan tersendiri bagaimana beliau mahu mengembangkan lagi kelas memanahnya dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Saya menyasar untuk adalah menaik taraf lapangan memanah agar ia menjadi lebih luas dan kami dapat memiliki lebih banyak fasiliti dalam tempoh tiga tahun akan datang. Saya optimis ia dapat dicapai sekiranya kami terus konsisten meluaskan lagi pasaran perniagaan kami.

“Pendorong utama kami adalah kerana kami ingin menjadikan perniagaan ini sebagai perniagaan keluarga yang berpanjangan. Saya mahu legasi perniagaan ini diteruskan oleh waris dan keturunan yang ada kerana keistimewaan dan kelebihan aktiviti memanah itu sendiri.

“Oleh itu, kami akan terus berusaha untuk mengekalkan perniagaan ini supaya lebih ramai yang akan mendapat manfaatnya,” katanya.