Platform dalam talian sudah terbukti menjadi antara medan pemasaran yang paling berkesan buat peniaga yang mahu memperkenalkan produk ataupun perkhidmatan mereka. Ramai usahawan yang bermula dari ‘zero’ tetapi berjaya membangunkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi dengan memanfaatkan platform dalam talian yang ada pada masa ini seperti TikTok mahupun Shopee.
Menyasar untuk membantu lebih ramai usahawan menempuh kejayaan, Akademi Cikgu Awan Sdn Bhd telah didaftarkan di bawah Akta Perniagaan 1955 pada 29 Jun 2020 dengan 100 peratus ekuiti bumiputera.
Pemiliknya, Siti Nur Awanis Mohamad Nasrun berkata Akademi Cikgu Awan menawarkan perkhidmatan Pendidikan Kuasai Pemasaran secara dalam talian atau luar talian kepada usahawan di negara ini. Bercerita lanjut mengenai perkhidmatannya, Siti Nur Awanis berkata ia bermula daripada pengenalan kelas iklan iaitu beberapa seminar mengajar cara buat iklan secara 1-1 coaching sehinggalah syarikat telah mengeluarkan buku untuk memudahkan para usahawan belajar dari buku sahaja pun masih boleh mahir.
“Sehingga kini, kami sudah menerbitkan dua buah buku yang berjudul Super Tiktok Ads dan Buku Tiktok Shop kerana Tiktok merupakan salah satu platform yang hangat sekarang,” kata anak kelahiran Kuala Kedah itu kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.
Bercerita lanjut, wanita berusia 29 tahun itu berkata keunikan produk yang dikeluarkan Akademi Cikgu Awan adalah menjadi syarikat pertama yang mengeluarkan Buku Tutorial yang mengajar setiap satu langkah cara hendak membuat iklan dari awal hingga akhir di platform Tiktok.
“Kami percaya pada zaman ini, kekuatan kita berinteraksi dan berkomunikasi adalah di media sosial. Jadi, pemasaran di platform seperti ini memainkan peranan penting bagi setiap peniaga. Justeru, kepakaran kami adalah untuk bantu para usahawan bagi mengelakkan kerugian ketika menjalankan pemasaran berbayar di media sosial. Kami juga menyediakan kelas pengiklanan, group support untuk bertanyakan soalan, pelbagai jenis e-book, video tutorial secara percuma sahaja dalam pakej kami.
“Kami percaya apabila kita dapat kongsikan tips-tips sebegini seperti kelas tutorial dan sebagainya, ramai para usahawan yang memerlukan ilmu-ilmu perniagaan ini terutamanya bila di media sosial.
“Kami sedia membantu para usahawan di luar sana supaya dengan iklan yang mereka jalankan, permudahkan mereka untuk kembangkan lagi perniagaan dari segi produk, servis dan jenama yang mereka hendak perkenalkan. Dari sini, mudah para perniaga untuk dapatkan prospek yang berkualiti.
“Alhamdulillah, kami sudah mengumpul ribuan maklum balas yang positif di mana mereka sudah berjaya menjana jualan yang tinggi selepas menjalankan iklan berbayar dengan bajet iklan yang rendah,” katanya lagi.
Mengulas mengenai cabaran semasa pandemik Covid-19, beliau berkata seperti yang diketahui, semua jenis bisnes akan terjejas sewaktu pandemik.
“Disinilah kita sedar betapa pentingnya peranan media sosial untuk kita terus gerakkan bisnes kita.
“Justeru ada juga yang rasa tidak mudah nak berjual beli di media sosial atas sebab ramai pesaing. Dengan kewujudan iklan berbayar di Facebook / Instagram / Tiktok inilah dapat membantu para perniaga terus melonjak naik walaupun dalam pandemik ini kerana anda masih boleh dapat jalankan perniagaan dengan baik hanya dari iklan sahaja,” katanya.
Beliau juga menyasar untuk mengembangkan lagi perniagaannya menjadi antara salah satu yang pertama sebagai “The only one-stop-centre” untuk bantu para usahawan dari segi pasarkan produk dan pengurusan syarikat di luar sana dalam tempoh tiga tahun lagi.
“Saya sangat percaya dalam perkongsian rezeki. Itu adalah satu prinsip yang saya selalu tanamkan dalam diri serta dalam syarikat saya – selalu kongsi rezeki bukan sahaja dalam bentuk duit tapi ilmu.
“Lebih banyak kita memberi disertai niat ikhlas untuk kebaikan ramai usahawan di luar sana, inshaAllah permudahlah sesuatu perniagaan itu berkembang. Alhamdulillah, dengan 7 tahun pengalaman berkongsi dan mendidik ramai usahawan tentang ilmu perniagaan, ia sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Gembira dapat lihat banyak usahawan dapat jana jualan yang luar biasa dengan menggunakan konsep iklan berbayar ini.
“Hasilnya, setiap pengeluaran buku kami, Alhamdulillah laris penjualannya dan permintaan masih tinggi tanpa henti. Disini kami sudah tahu masih ramai lagi usahawan yang nak kembangkan bisnes mereka. Jangan risau jika anda baru mula nak berniaga, kami akan bimbing anda sehingga mahir.”, katanya.