Aisy Tech Services mula bertapak dalam dunia perniagaan pada tahun 2016. Ia adalah sebuah syarikat milik bumiputera sepenuhnya dan penubuhannya juga adalah kerana minat yang tinggi dalam bidang kemahiran elektronik dan elektrik oleh pengasasnya, Firdauz Mohd Yusak
Selain itu, kurangnya pembabitan bumiputera dalam dunia industri baik pulih yang selama ini banyak dimonopoli oleh bukan bumiputera mendorong pengasas perniagaan ini untuk tampil terjun dalam bidang ini sekaligus menjadikan ia sebagai sebuah perniagaan.
“Kami lebih dikenali dalam kalangan dunia pembaik pulih barangan elektrik dengan nama Mr. Repair.
“Mr Repair bermula hanya di rumah dan terus ke rumah pelanggan. Pada tahun 2020, Mr Repair berjaya membuka kedai pertama kami bertempat di Prima Saujana, Kajang.
“Matlamat utama Mr Repair adalah menyedia dan menawarkan perkhidmatan membaik pulih barangan elektrik rumah seperti kipas angin, ketuhar gelombang makro, ketuhar, seterika stim dan beberapa barang elektrik rumah yang lain,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.
Kata anak kelahiran Kajang, Selangor ini, selama beberapa tahun pihaknya hanya fokus pada keperluan barangan elektrik di rumah.
“Tahun 2020, Mr Repair mula dikenali dalam kalangan pembuat kuih, kek dan pengusaha kedai makan minum di Selangor.
“Kami mula membaiki ketuhar yang digunakan dalam industri yang mana memerlukan kepakaran yang tinggi. Kami sudah mula mempunyai pelanggan tetap seperti Koffelane, Smoked Kingdom by Don Daniyal dan Paramount,” katanya.
Seiring matlamat melahirkan generasi yang mempunyai kemahiran yang tinggi, Mr Repair juga menyediakan kursus jangka pendek bagi mereka yang berminat dalam bidang baik pulih barangan elektrik.
Kursus jangka pendek yang dijalankan adalah seperti kursus membaik pulih kipas, kursus membaik pulih ketuhar gelombang mikro, kursus membaik pulih ketuhar dan juga kursus membaik pulih saterika stim.
“Kami sudah menjalankan kursus jangka pendek ini di beberapa negeri seperti di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.
“Kami juga menjalankan projek kerjasama dengan EmpowerNCER dab UMP Advance untuk menjalankan kursus jangka pendek bagi peserta yang mempunyai kesan ekonomi semasa pandemik berlaku,” katanya.
Beliau berkata, keistimewaan perkhidmatan yang ditampilkan perniagaannya adalah pihaknya dapat membaiki seterika stim pelanggan dalam masa cuma satu jam tanpa perlu menunggu lama.
Pada masa sama, perniagaannya itu juga turut menawarkan rundingan produk dan pemeriksaan produk percuma kepada pelanggan.
“Kebanyakan kedai baik pulih tidak menyediakan perkhidmatan baik pulih saterika stim dalam masa sejam. Oleh itu, ia memerlukan pelanggan untuk meninggalkan saterika mereka di kedai dan biasanya ada bayaran dikenakan setiap kali pemeriksaan produk dilakukan,” katanya.
Katanya, pandemik sememangnya memberi kesan kepada mereka sebagai usahawan dan ketika ia berlaku, mereka hanya dapat melakukan aktiviti membaik pulih d irumah saja.
“Tetapi bagi pelanggan yang jauh selalunya mereka menggunakan perkhidmatan seperti syarikat penghantaran untuk menghantar barang-barang rosak kepada kami.
“Dalam masa tiga tahun lagi, kami ingin membuka satu pusat yang bukan sahaja untuk membaik pulih peralatan tetapi menjual barangan elektrik terpakai kepada pelanggan yang kurang mampu untuk membeli barang baru.
“Kami juga bercadang untuk menyediakan tempat jualan komponen kepada juruteknik memandangkan kebanyakan komponen perlu dibeli di China,” katanya.
Jelas beliau lagi, minat dalam bidang baik pulih selain kepuasan diri, ia dapat membantu pelanggan membaiki barangan mereka yang rosak tanpa perlu dibuang.