Tak perlu risau kalau tak sempat nak masak, Ratu Lasagna kan ada!

Lasagna adalah makanan yang berasal dari bandar Naples di Itali dan ia digemari oleh ramai penduduk di negara lain, tidak terkecuali di Malaysia. Walaupun Cara penyediaannya agak rumit dan sedikit mengambil masa namun lasagna sering menjadi pilihan pada mereka yang mahu berubah selera sekali-sekala dengan mencuba makanan lain selain makanan tradisional di sini.

Potensi yang ada pada pasaran produk makanan berkenaan telah membuka ruang kepada Shyela Latif untuk memulakan perniagaan berasaskan produk lasagna sejuk beku. Memilih nama Ratu Lasagna sebagai jenamanya, operasi perniagaan Shyela Latif Empire ini bermula pada tahun 2018 hanya dari rumah yang terletak di Tanjung Malim, Perak.

Wanita berusia 34 tahun itu kini berpuas hati dengan perkembangan yang ditunjukkan Ratu Lasagna apabila kini ia sudah beroperasi sepenuhnya di bangunan premis, merangkumi semua aspek termasuklah proses pembuatan hinggalah kepada pengedaran.

Shyela berkata pada masa ini beliau menjual produknya menerusi pasaran stokis dan ejen. Bercerita lebih lanjut, Shyela yang berasal dari Kelantan berkata produk lasagna sejuk beku keluarannya mempunyai citarasa Asia yang sesuai dengan semua golongan dan rasanya tidak terlalu masam.

“Produk kami kaya dengan perisa dan paling penting, ia sesuai untuk semua golongan kerana kami mengeluarkan beberapa jenis produk untuk memenuhi permintaan yang berbeza daripada pelanggan kami. Antara kelebihan produk Ratu Lasagna adalah apabila kami mengeluarkan pelbagai pilihan lasagna yang di inovasikan menjadi lebih unik dan berunsurkan selera rakyat Malaysia antara yg terbaru adalah lasagna ASAM PEDAS. Setakat ini ia  diterima baik dan mendapat sambutan yang menggalakkan oleh setiap lapisan masyarakat di negara ini”

“Kami jadikan produk kami ini sesuai dengan citarasa rakyat Malaysia dan bercadang untuk menambah lagi jenis jenis lasagna yang unik untuk dipasarkan. Selain itu, produk sejuk beku ini juga memudahkan urusan golongan wanita bekerja yang tidak berkesempatan untuk masak. Ia menjimatkan masa dan boleh membantu mereka yang dilanda kesibukan kerana saiz hidangannya yang besar dan mengenyangkan,” katanya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai cabaran menjalankan perniagaan ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, Shyela berkata antara ilmu penting yang beliau pelajari adalah untuk menjaga aliran tunai syarikat dengan baik.

“Saya kena pastikan syarikat sentiasa mempunyai simpanan yang kukuh kerana kita tidak tahu apa yang bakal terjadi di masa hadapan. Selain itu, saya juga sedar akan kewujudan lebih banyak saluran pemasaran yang boleh saya manfaatkan. Ini penting kerana saya mahu lebih ramai orang di luar sana tahu mengenai kewujudan produk lasagna sejuk beku berjenama Ratu Lasagna,” katanya.

Sama seperti setiap usahawan yang memasang impian dan cita-cita untuk terus berjaya, Shyela juga tidak terkecuali untuk menetapkan sasaran yang mahu beliau capai dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Saya memasang impian untuk meningkatkan lagi kapasiti keluaran produk saya serta mendapatkan pensijilan Halal bagi produk Ratu Lasagna,” katanya.

Mengakui bahawa bidang perniagaan tidak akan lari daripada pelbagai cabaran dan dugaan, Shyela berkata beliau tidak akan sesekali berputus asa dan akan terus berjuang untuk membangunkan produknya.

“Saya mahu buktikan kepada diri saya sendiri dan juga keluarga saya bahawa jalan yang saya pilih iaitu menceburi bidang perniagaan ini adalah tepat. Saya mahu mereka menjadi saksi atas kejayaan saya mengemudi empayar perniagaan saya,” katanya.