Kuih karas adalah sejenis kuih tradisional yang diperbuat daripada tepung beras dan sesuai dinikmati dengan secawan teh atau kopi panas. Bentuknya seakan jaring halus dan rasanya yang manis serta rangup pastinya membuatkan penggemarnya makan sampai berkeping-keping banyaknya.
Kuih karas dihasilkan dengan menggunakan adunan tepung beras cair yang dikirai dengan menggunakan acuan khas dalam minyak panas sehingga kuning keemasan. Ia kemudian diangkat dan dilipat atau digulung sebelum sedia untuk dihidang.
Jika dahulu, kuih karas mudah dijumpai semasa musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri mahupun Hari Raya Aidiladha, tetapi sejak kebelakangan ini, sudah ramai usahawan yang mengeluarkan kuih karas secara komersial, menjadikannya lebih mudah didapati di mana sahaja tanpa mengira masa.
Bagi usahawan muda yang dikenali sebagai Nasmira, beliau terjun ke dunia keusahawan secara bidan terjun.
Bercerita lebih lanjut kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini, beliau berkata tercetusnya idea untuk menjual kuih karas adalah ketika negara berada di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) buat pertama kalinya pada Mac 2020.
“Pada masa itu, saya masih bekerja di sebuah hotel bajet berhampiran dengan Putrajaya. Disebabkan operasi hotel berkenaan terjejas semasa PKP, saya mula bekerja dari rumah dan pada waktu itulah saya terfikir untuk memasarkan kuih karas di dalam Facebook milik saya.
“Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan saya dan kuih karas yang dijual mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan bukan saja pada waktu itu tetapi sehingga kini,” katanya.
Ditanya mengenai keunikan kuih karas yang dihasilkannya, Nasmira berkata kuih karas adalah sesuatu yang jarang dijumpai dan kebanyakannya hanya golongan yang berusia seperti ibu dan nenek sahaja yang pandai membuatnya.
“Dari situ saya terfikir apa salahnya jika saya pula yang cuba buat? Keunikan kuih karas keluaran saya adalah ia sangat halus, sekali kunyah terus cair. Ia juga tidak terlalu manis untuk dimakan. Apa yang penting, saya dapat memperkenalkan kuih tradisional ini kepada golongan yang lebih muda kerana ada di antara mereka yang tidak tahu bagaimana rupa kuih karas,” katanya lagi.
Nasmira berkata sebelum berlakunya pandemik, beliau tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang keusahawanan.
“Bagaimanapun, perancangan saya bertukar semasa pandemik kerana saya mula terfikir cara untuk terus berjuang dalam kehidupan yang sangat mencabar. Pada masa itu, gaji saya dipotong, jadi saya bingung memikirkan bagaimana hendak membayar komitmen yang saya ada.
“Dari situ, saya membuat keputusan untuk meneruskan jualan kuih karas secara kecil-kecilan menerusi platform media sosial. Hasilnya, kuih karas saya mendapat pujian dan maklumbalas yang baik daripada pelanggan-pelanggan saya di Facebook pada masa itu.
“Melihat kepada perkembangan yang positif itu, saya kemudiannya memasukkan jualan ke ‘marketplace’ dan Alhamdulillah, sejak itu saya mengubah haluan dengan menjadi usahawan kuih karas sepenuh masa agar dapat menampung permintaan yang semakin tinggi,” ujarnya lagi.
Sebagai seorang usahawan, Nasmira turut mempunyai perancangannya yang tersendiri dalam tempoh tiga tahun lagi.
“Saya menyasar untuk mempunyai kilang pengeluaran, mesin kuih karas serta produk lain yang bakal diterokai kelak. Sekiranya saya sudah mempunyai jenama yang dikenali, saya tidak akan ragu-ragu lagi untuk pergi lebih jauh. Itulah impian saya, mahu sentiasa memberikan nilai kepada orang lain dalam perniagaan kuih karas yang saya jalankan,” katanya sambil menambah latar belakang keluarganya yang bukan dikalangan orang senang juga menjadi tunjang untuknya terus mengembangkan perniagaannya.