Rumah Ngaji Al Hidayah Jerantut tawar dua modul untuk pelajari bacaan Al-Quran

Sudah bertapak hampir dua dekad, Rumah Ngaji Al Hidayah Jerantut bermula dari rumah sendiri pada tahun 1996 sebelum terus berkembang dan kini beroperasi dari sebuah premis perniagaan di kawasan berdekatan bandar Jerantut.

Pengasasnya, Nor Hafizah Ahmad berkata keunikan yang ada pada perkhidmatan Rumah Ngaji Al Hidayah Jerantut adalah ia menawarkan dua modul dalam bentuk laman web dan buku.

“Bagi produk laman web Think Quran, ia menawarkan kaedah yang sangat efektif dan interaktif yang mana pelajar boleh mempelajari bahasa Al-Quran dengan mudah menerusi sesi belajar selama 15 minit sehari walaupun mereka langsung tidak mengetahui bahasa Arab.

“Selain itu, menerusi kaedah berkenaan, pelajar tidak terikat dengan kelas fizikal dan boleh belajar di mana-mana sahaja. Tambah menarik, harga yang ditawarkan adalah mampu milik. Berdasarkan testimoni yang kami terima, kanak-kanak yang gemar bermain permainan online akan seronok apabila menggunakan Think Quran untuk sesi pembelajaran. Malah, perkhidmatan ini tidak hanya terhad kepada kanak-kanak dan golongan dewasa juga boleh menggunakannya.

“Manakala bagi produk kedua kami adalah modul Buku Formula Al Hidayah yang sangat ringkas dan menyeronokkan. Dalam tempoh 24 jam, pelajar sudah boleh mula membaca Al-Quran secara perlahan,” kata Hafizah lagi kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Wanita berusia 43 tahun itu berkata menerusi perkhidmatan berkenaan, ia membantu Rumah Ngaji Al Hidayah Jerantut untuk mengembangkan operasi perniagaannya.

“Produk berkenaan membolehkan kami menjana pendapatan dengan kadar keuntungan sebanyak 27 peratus. Selain itu, produk berkenaan juga boleh diwarisi dan tiada had untuk menjana pendapatan. Lebih banyak produk yang terjual bermakna lebih banyak pendapatan yang boleh diterima.

“Bagi produk laman web Think Quran, kami meletakkan sasaran untuk membantu 100 juta umat Islam di seluruh dunia agar lebih memahami bahasa Al-Quran,” kata anak kelahiran Jerantut, Pahang itu lagi.

Nor Hafizah berkata senario yang kelam akibat pandemik Covid-19 yang berlaku bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia dua tahun lalu telah memberikan pengajaran buatnya sebagai seorang usahawan.

“Saya mula menyedari kepentingan menjalankan perniagaan secara dalam talian, sama ada dalam bentuk perkhidmatan mahupun produk yang dihasilkan. Perniagaan dalam talian mampu menjadi penampung kepada kesuraman yang berlaku disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan yang dijalankan.

“Selain itu, kita juga perlu belajar aspek pengurusan kewangan dan memastikan syarikat mempunyai aliran tunai yang baik. Untuk sesebuah syarikat terus bernafas, pastikan ada simpanan sekurang-kurangnya enam bulan,” tambahnya lagi.

Ditanya mengenai sasaran yang mahu dicapai dalam tempoh tiga tahun lagi, Nor Hafizah berkata beliau mahu menubuhkan sebuah Wisma Pusat Pemulihan dan Bimbingan Al-Quran bermula daripada peringkat asas.

“Selain itu, menerusi produk Think Quran dan visi untuk mencapai 100 juta umat Islam faham Al-Quran, saya menyasar untuk menjana pendapatan tujuh angka dalam tempoh tiga tahun lagi. Antara perancangan yang telah dibuat bagi memastikan sasaran itu dapat dipenuhi adalah dengan mengembangkan lagi rangkaian perniagaan saya.

“Misi dan visi serta matlamat utama saya menceburkan diri dalam bidang perniagaan adalah kerana Allah dan Nabi Muhammad S.A.W. Di samping itu, saya mahu menjadikannya saham akhirat untuk dibawa pulang ke negeri abadi.

“Justeru, saya berazam akan terus mengorak langkah dalam dunia perniagaan dan tidak akan berputus asa untuk membangunkan Rumah Ngaji Al Hidayah Jerantut,” ujarnya lagi sebelum menutup bicara.