Selebele Bundle sasar buka cawangan di luar Kelantan

Bermula dengan membuka sebuah syarikat kurier yang diberi nama PostHub, langkah Mohamad Nizam Adhaa Kamarudin tidak terhenti di situ. Penubuhan syarikatnya yang pertama itu nyata telah mencetuskan idea dan keberanian buat pemuda berusia 31 tahun itu untuk membuka perniagaan kedua yang agak berbeza iaitu syarikat kasut terpakai, Selebele Bundle.

Mohamad Nizam berkata beliau yakin dengan potensi yang ada untuk perniagaan kasut terpakai dan pada awal pembukaan, Selebele Bundle hanya beroperasi secara dalam talian.

“Selepas beberapa bulan kami memulakan perniagaan, kami telah berjaya beroperasi secara fizikal dan kedai kami beroperasi di Bukit Sireh, Kuala Krai Kelantan,” kata anak jati Kuala Krai, Kelantan ini kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut, Mohamad Nizam berkata antara keunikan yang ada pada Selebele Bundle adalah mereka menggalakkan pelanggannya untuk turut sama belajar berniaga.

“Kami lebih suka gelarkannya sebagai “Business Starter Pack” kerana kami mengetahui apa yang diperlukan oleh peminat bundle diluar sana. Sudah pasti pelanggan kami bukan sahaja mahu memiliki produk, tetapi juga mereka berhasrat untuk turut sama mempunyai bisnes mereka sendiri dan mereka bermula dengan membeli barangan daripada kami.

“Dengan adanya “Unique Selling Proposition” ini, ia dapat memberi kelebihan kepada kami kerana kami tahu ramai di antara pelanggan di luar sana yang ingin memiliki perniagaan mereka sendiri, cuma mereka tidak tahu bagaimana cara untuk mereka bermula.

“Jadi produk kami bukan sahaja untuk dimiliki akan tetapi mereka juga akan diberikan ilmu tentang bagaimana untuk memulakan sesuatu perniagaan iaitu perniagaan bundle,” katanya lagi.

Mohamad Nizam juga tidak terkecuali daripada berhadapan cabaran pandemik Covid-19 yang berlaku di negara ini. Bagaimanapun, beliau mengakui ada ibrah di sebalik apa yang telah berlaku.

“Antara kesan yang berlaku semasa pandemik adalah ramai antara kita yang kehilangan pekerjaan, perniagaan tidak dapat diteruskan dan sebagainya. Oleh itu, amat penting untuk kita tidak hanya bergantung kepada pekerjaan hakiki sahaja, sebaliknya kita perlu mengambil inisiatif untuk membina perniagaan sendiri. Ia amat penting untuk dipelajari oleh setiap pelanggan kami diluar sana,” tambahnya lagi.

Ditanya mengenai perancangannya dalam tempoh tiga tahun lagi dan bagaimana beliau mahu mencapainya, Mohamad Nizam berkata beliau menyasar untuk menjadikan Selebele Bundle sebagai syarikat pakaian terpakai yang dikenali.

“Kami mahu meluaskan lagi operasi perniagaan dan menjadikannya lebih dikenali bukan sahaja di Pantai Timur, tetapi juga di seluruh Malaysia.

“Saya yakin jika diberikan kemudahan dan peluang, kami juga ingin membuka cawangan kami di tempat tempat lain di negara ini. Saya yakin pasaran perniagaan kasut terpakai mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Justeru, saya berazam untuk membuka lebih banyak peluang kepada peminat kasut terpakai untuk mereka belajar sendiri selok-belok dalam perniagaan ini,” katanya lagi.

Usahawan muda ini berkata beliau juga tidak akan sesekali berputus asa dan akan terus berjuang dalam membangunkan perniagaannya iaitu syarikat PostHub dan Selebele Bundle.

“Dunia keusahawanan ini bukanlah satu perkara yang muda kerana setiap perjalanan yang dilalui, pasti ada liku-likunya. Bagaimanapun, saya percaya setiap apa yang jatuh pasti akan bangun semula.

“Pegangan inilah yang membuatkan saya terus bertahan dalam dunia perniagaan dan akan sentiasa menjadikannya azimat untuk saya terus berjuang dalam bidang ini.

“Saya juga mahu mengajak lebih ramai orang di luar sana untuk belajar ilmu perniagaan dan memanfaatkannya demi masa depan mereka dan keluarga mereka,” katanya lagi.