Akademi Alqudwah tawar pakej kelas Bahasa Arab

Bahasa Arab adalah satu daripada bahasa yang paling sukar untuk dikuasai oleh mereka yang bukan berketurunan Arab. Bagaimanapun, bagi mereka yang beragama Islam, bahasa Arab adalah bahasa pengantar yang digunakan di dalam kitab suci Al-Quran. Selain itu, kalimah dalam bahasa Arab juga dilafazkan di dalam solat. Justeru, di negara ini, ramai orang mula mendalami bahasa berkenaan kerana mereka mahu cuba memahami lafaz dalam bahasa Arab yang disebut dalam setiap solat yang didirikan.

Melihat kepada permintaan untuk mempelajari bahasa Arab yang semakin meningkat, Taufik Yusuf menubuhkan Akademi Alqudwah pada hujung tahun 2016. Beliau berkata, pada awalnya, akademi berkenaan memfokuskan kepada pendidikan Al-Quran dan bahasa Arab secara pembelajaran di rumah.

“Pada tahun 2018, kami mula kecilkan fokus akademi Alqudwah hanya kepada pendidikan bahasa Arab dewasa dan hingga sekarang kami mempunyai beberapa pakej kelas dan produk bahasa Arab dewasa bermula dari asas hinggalah ke peringkat yang lebih tinggi,” ujar usahawan berusia 36 tahun itu kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Ditanya mengenai keunikan perkhidmatan yang ditawarkan Akademi Alqudwah, anak kelahiran Kulim, Kedah itu berkata ia menawarkan kelas secara dalam talian dan ini membolehkan sesiapa juga turut menyertai kelas bahasa Arab walaupun dari jauh.

Selain itu, kami turut mempunyai modul bahasa Arab yang lengkap daripada asas hingga peringkat lanjutan serta menawarkan pelbagai pilihan pakej kelas. Ada kelas yang menggunakan pendekatan secara langsung dan ada juga yang ditawarkan dalam versi ‘e-learning’.

“Selain itu, kami juga sering berkongsi ilmu bahasa Arab secara percuma melalui webinar kepada lebih 1000 peserta,” katanya lagi.

Menerusi keunikan yang ada pada perkhidmatan akademi berkenaan, Taufik berkata ia telah menjadikan nama Akademi Alqudwah lebih dikenali selain menaikkan kredibiliti dan kepercayaan daripada pelajarnya.

Perkhidmatan kami juga tidak terkecuali daripada impak pandemik Covid-19 yang melanda negara dua tahun lalu. Bagaimanapun, apa yang telah kami pelajari daripadanya adalah untuk tidak bergantung hanya kepada satu model perniagaan.

“Sebagai seorang usahawan, kita harus segera menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku dan tidak menunggu terlalu lama untuk mentransformasikan model perniagaan.

“Apa yang penting, kita perlu memanfaatkan penggunaan platform dalam talian yang sememangnya amat membantu semasa Covid-19 merebak di seluruh dunia. Kelas-kelas yang sebelum ini dijalankan secara bersemuka telah berubah ke platform dalam talian,” ujarnya.

Taufik berkata beliau turut menyasar untuk menjadi penyedia perkhidmatan pendidikan bahasa Arab nombor satu di negara ini serta mempunyai kelompok penutur bahasa Arab yang kuat.

“Kami mahu membantu lebih 10,000 orang Islam dewasa untuk celik bahasa Arab dalam tempoh tiga tahun lagi. Antara usaha yang akan dibuat bagi mencapai sasaran berkenaan termasuklah dengan memperbaiki cara pemasaran perkhidmatan kami serta memperbanyakkan lagi saluran pemasaran.

“Selain itu, kami mahu mengukuhkan nama Akademi Alqudwah dan meningkatkan jumlah pengikut yang ada pada platform media sosial kami.

“Kami juga mahu memperbanyakkan lagi kandungan yang bermanfaat di media sosial dan menjadi carian nombor satu ni Google.

“Di samping itu, kami akan memperbanyak lagi keputusan ataupun testimoni daripada pelajar-pelajar yang pernah mengikuti kursus bahasa Arab dengan Akademi Alqudwah,” katanya lagi.

Beliau juga mahu terus mengukuhkan kerjasama antara pihak pengurusan dengan kakitangan Akademi Alqudwah.

“Bagi mencapai segala perancangan yang ditetapkan, amat penting bagi kami untuk mengukuhkan lagi pasukan dan bekerja keras untuk kemajuan bersama,” tambahnya lagi.