Halo Je bantu peniaga kecil tingkatkan jualan

Berkecimpung dalam bidang perniagaan pada usia 20-an bukanlah satu perkara yang mudah tetapi Junaidah Ismail, 23, tekad untuk meneroka potensi yang ada dalam sektor berkenaan.

Bermula dengan penubuhan Al Islah Wannurr Enterprise pada 2017 dengan membuka perniagaan perkhidmatan pengajian Al-Quran dan kelas Pendidikan awal kanak-kanak, Junaidah mengembangkan lagi sayapnya dengan menjadi sebahagian daripada pemilik perniagaan aplikasi penghantara Halo Je pada tahun lalu.

“Saya menggalas tanggungjawab sebagai ‘Person-in-charge’ dan bermulalah skop baharu dalam perniagaan saya iaitu perkhidmatan penghantaran.

“Apa yang menarik mengenai aplikasi Halo Je adalah ia menawarkan servis penghantaran makanan dan juga barangan sejak diperkenalkan kepada umum pada 2019.

“Sepanjang hampir setahun beroperasi, aplikasi Halo Je telah banyak membantu peniaga-peniaga kecil dan peniaga di tepi jalan meningkatkan jualan mereka,” katanya sambal menambah aplikasi berkenaan sudah dimuat turun lebih satu juta pengguna di negara ini.

Antara kelebihan lain Halo je termasuklah boleh membuat penghantaran melebihi radius 20 kilometer, yuran perkhidmatan yang lebih rendah, penghantaran yang cepat, bayaran tunai kepada ‘rider’ setiap hari, pendaftaran vendor secara percuma serta tiada denda dikenakan kepada vendor-vendor.

Menerusi aplikasi berkenaan juga, terdapat barangan lain yang boleh dipasarkan iaitu pakaian dan juga peranti teknologi.

“Apa yang kami mahu fokuskan pada masa ini adalah perkhidmatan penghantaran makanan kini bukan lagi menjadi kehendak orang ramai tetapi telah berubah menjadi satu keperluan kepada rakyat di negara ini.

“Memandangkan kami melakukan perniagaan dalam talian dan telah berada diseluruh Malaysia, kami hendak meluaskan lagi promosi produk ini menerusi iklan dan strategi pemasaran yang berkesan,” katanya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.

Anak kelahiran Pekan, Pahang itu juga memohon sokongan berterusan diberikan kepada pengasas Halo Je, Jalaludin Abu Bakar agar aplikasi yang dibangunkan anak tempatan itu terus maju dan memberi manfaat kepada ramai pihak.

Ketika ditanya mengenai kesan pandemik Covid-19 yang melanda, Junaidah berkata sebagai seorang usahawan, kita harus bertindak pantas sejajar dengan peredaran semasa.

“Andai kata kita tidak dapat bergerak bebas disebabkan oleh perintah sekatan pergerakan yang berlaku, maka kita perlu memasarkan perniagaan kita secara atas talian.

“Selalulah berfikir 10 langkah kehadapan dalam apa jua keadaan nescaya kita akan terus maju dan berdaya saing,” tambahnya lagi.

Anak muda yang cekal itu juga menyasar untuk mengembangkan perniagaannya dalam tempog tiga tahun lagi dengan melahirkan lebih ramai usahawan muda.

“Ramai golongan belia di luar sana yang mahu menceburi bidang perniagaan tetapi tidak tahu bagaimana hendak bermula. Saya berhajat untuk membimbing mereka dengan menawarkan pekerjaan kepada mereka.

“Selain itu, saya juga akan mengemudi syarikat untuk memasarkan lebih banyak lagi produk yang berasaskan perkhidmatan dalam talian. Ini kerana permintaan untuk perkhidmatan atas talian pada masa ini amat tinggi.

“Saya juga menyasar untuk mencatatkan jualan RM1 juta buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun akan datang,” ujarnya dengan penuh semangat.

Ketika ditanya mengenai apa yang membuatkannya terus cekal dan mahu meneruskan perjuangan dalam membangunkan perniagaannya, Junaidah berkata beliau mahu memantapkan ekonomi keluarga penduduk tempatan.

“Saya mahu terus membantu ibu dan bapa saya selain membuka sebanyak mungkin peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Saya yakin, jika saya sendiri senang, saya boleh memanfaatkan kesenangan saya dengan membantu lebih ramai orang,” katanya.