Sasar lebih anak muda terlibat dalam bidang pembaikan smartphone.

NJ Mobile Technology rangka strategi pemasaran, sasar lebih ramai anak muda terlibat dalam bidang pembaikan telefon pintar.

Bermula sebagai pemilik sebuah syarikat milikan tunggal yang diberi nama NJ Best Technology pada tahun 2017, Zainuddin Omar mempunyai aspirasinya yang tersendiri dalam industri teknologi telekomunikasi telefon pintar.

Selepas lebih lima tahun terbabit dalam industri berkenaan dengan fokus utama lebih kepada perkhidmatan membaikpulih dan servis telefon pintar dan juga perkhidmatan lain seperti menawarkan aksesori telefon dan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang berkaitan, Zainuddin menjadi bertambah yakin dan komited bahawa perniagaan ini merupakan satu perniagaan yang sentiasa berkembang dan menjadi keperluan kepada pengguna dari hari ke hari.

Usahawan berusia 33 tahun naik setakuk lagi dengan menubuhkan NJ Mobile Technology Sdn Bhd (NJ Mobile Technology) yang merupakan sebuah syarikat bumiputera yang menjalankan aktiviti perniagaan khusus dalam industri teknologi telekomunikasi telefon pintar.

Anak kelahiran Pontian, Johor itu berkata terdapat beberapa kelebihan dan keunikan produk serta perkhidmatan yang ditawarkan syarikat hingga berjaya meyakinkannya untuk untuk menaiktaraf syarikat kepada syarikat Sendirian Berhad pada Mac tahun 2020.

“Antara kelebihan dan keunikan yang memberi kelebihan kepada perkembangan syarikat ialah pasaran yang sangat luas kerana hampir keseluruhan penduduk menggunakan telefon pintar tidak mengira umur,bangsa, dan agama malah golongan Orang Kurang Upaya juga seperti bisu dan buta turut menggunakan telefon pintar.

“Selain itu, kami juga tidak perlu risau tentang persaingan kerana pasaran yang terlalu luas. Apa yang penting memberikan perkhidmatan yang cepat dan layanan yang baik kepada setiap pelanggan agar mereka berpuas hati dengan kami dan mewar-warkan perkhidmatan syarikat kepada rakan dan orang keliling mereka.

“Kelebihan lain termasuklah permintaan yang sangat tinggi terhadap perkhidmatan membaikpulih telefon memberi peluang yang sangat besar kepada syarikat tanpa perlu bersusah payah untuk mengiklankan perniagaan ini.

“Selain itu, salah satu keunikan lagi adalah pelanggan yang berulang. Perkhidmatan dan layanan yang baik akan memberikan kelebihan kerana pelanggan tidak akan ke kedai lain malah akan mencadangkan kepada ahli keluarga dan kenalan mereka,” jelasnya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.

Zainuddin berkata di saat hampir semua perniagaan dilanda kemerosotan akibat pandemik Covid-19, beliau berkata perkhidmatan baikpulih telefon pintar ini antara yang bernasib baik.

“Semasa pandemik berlaku, kami dapat melihat bahawa perniagaan perkhidmatan membaikpulih telefon bimbit ini sememangnya lansung tidak terjejas malas lebih berkembang di mana sewaktu pandemik melanda boleh dikatakan segala urusan akan memerlukan penggunaan telefon bimbit.

“Keadaan ini telah mendorong dan memberikan keyakinan kepada syarikat Nj Mobile Technology untuk lebih maju dan mengorak langkah memperkembangkan perniagaan ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perancangan syarikat dalam tempoh tiga tahun lagi, beliau berkata pihaknya kini sedang merangka beberapa strategi pemasaran dan program rakan niaga seperti pakej-pakej francais.

NJ Mobile Technology Sdn Bhd juga mensasarkan lebih ramai anak muda yang kurang bernasib baik dalam bidang akademik untuk menceburi bidang pembaikan telefon pintar. Kemahiran boleh dipupuk melalui minat & peluang yang ada. Pihak kolej & pusat pendidikan juga boleh mengambil peluang mewujudkan subjek khas pembelajaran bidang pembaikan telefon pintar untuk pelajar yang berminat.

“Kami sedang dalam usaha ke arah mengeluarkan telefon pintar keluaran tempatan dibawah syarikat Nj Mobile Technology dalam jangka masa dua hingga tiga tahun yang akan datang. Saya yakin sasaran ini mampu dicapai dan akan berusaha sehabis baik bagi memastikan ia dapat direalisasikan

“Syarikat Nj Mobile Technology tidak akan berputus asa dan akan terus berjuang dalam industri ini kerana kami percaya dan yakin bahawa industri ini merupakan industri utama dan terpenting di dunia buat masa kini dan akan terus kekal selagi manusia memerlukan hubungan melalui telekomunikasi dan juga internet untuk pelbagai perkongsian dan kemudahan,” ujarnya.