Perniagaan legasi secara turun temurun mempunyai nilai ekslusif yang begitu tinggi yang membawa kepada semangat untuk meneruskan perniagaan supaya ia kekal diwarisi dari zaman ke zaman.
Bagi usahawan muda, Shakira Sulaiman, beliau mewarisi perniagaan keluarganya menjadikan beliau sebagai usahawan wanita muda yang berkecimpung dalam urus niaga membabitkan perkhidmatan butik pengantin.
Kata wanita berusia 32 tahun ini, perniagaan diusahakan itu adalah butik pengantin yang mana menyediakan pakej-pakej mampu milik buat bakal pengantin yang mencari sewaan baju pengantin, hiasan pelamin, mekap, katering, kanopi dan sebagainya.
“Perniagaan ini dimulakan oleh ibu saya pada 2014 lalu. Saya telah menimba pengalaman bekerja bersama ibu saya selama tiga tahun. Jadi, apabila sudah bersedia, pada September 2019 lalu, saya telah mengambil alih perniagaan ini sepenuhnya,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.
Kata anak kelahiran Klang, Selangor, ini istimewanya perniagaan yang dijalankan itu adalah kerana mereka adalah satu-satunya butik pengantin yang menyediakan baju pengantin sedia ada bersaiz besar iaitu sehingga saiz 6XL bagi lelaki dan perempuan.
“Pada masa sama, kelebihan kami juga adalah kerana kami turut mempunyai tukang jahit sendiri yang boleh terus mengubah suai saiz pakaian bagi pelanggan yang datang dari jauh.
“Jadi, ia memudahkan urusan pelanggan yang datang dari jauh untuk mendapatkan perkhidmatan di butik kami,” katanya.
Kongsi beliau lagi, ramai pelanggan yang sanggup datang dari jauh dan antaranya dari Melaka, Pahang, Perak,dan Pulau Pinang semata-mata untuk mendapatkan perkhidmatan pakej perkahwinan yang disediakan mereka.
“Baju kami juga sudah di bawa untuk penggunaan di Sabah dan serata Semenanjung Malaysia. Ini kerana kami memberi peluang kepada pengantin yang memiliki saiz badan yang besar untuk menempah pakej di butik kami kerana biasanya saiz seperti itu tiada pilihan di butik-butik lain yang pernah mereka kunjungi sebelum ini,” katanya.
Ditanya berkenaan kesan pandemik kepada sesebuah empayar perniagaan, beliau berkata, sesebuah perniagaan itu perlu mempunyai simpanan tunai yang secukupnya untuk bertahan mengharungi senario pandemik yang tidak menentu dan ia sebagai persediaan awal menempuh cabaran sebagai usahawan.
“Pilihan pakej juga perlu dipelbagai mengikut kesesuaian semasa. Sebagai contoh, sewaktu kenduri tidak dibenarkan ketika pandemik melanda, kami menyediakan pelamin studio di butik untuk pengantin bergambar kenangan bersama keluarga,” katanya.
Ia dilihat sebagai usaha dan kreativiti usahawan dalam menangani cabaran semasa dan tidak menjadikan pandemik sebagai alasan untuk menghentikan pemasaran perniagaan.
Sama seperti usahawan lain, beliau turut mengimpikan sesuatu yang indah dan lancar dalam perniagaan yang dibangunkan itu.
“Saya juga mengimpikan untuk meningkatkan jualan dan perniagan stabil setiap minggu, dengann disokong oleh pekerja-pekerja yang berkualiti dan berdedikasi.
“Untuk meningkatkan jualan, saya mesti berkolaborasi dengan pihak katering dan dewan-dewan swasta yang menyediakan pakej lengkap. Justeru, saya juga perlu memastikan pekerja sedia ada kekal dengan motivasi diri dalam melaksanakan tugasan dan amanah masing-masing,” katanya.
Namun, untuk mengalah dan berputus asa, ia tidak ada langsung dalam kamus hidup usahawan wanita ini kerana setiap hari beliau sentiasa mengingatkan diri untuk membangunkan perniagaan dan percaya jatuh bangun perniagaan itu adalah perkara lazim bagi usahawan.
“Saya berasa bertanggungjawab dalam meningkatkan mata pencarian pekerja-pekerja saya dan ini sumber inspirasi saya selama ini.
“Saya juga ingin mewujudkan peluang pekerjaan kepada lebih ramai orang kerana semua rezeki adalah untuk dikongsi bersama sebenarnya. Saya amat percaya perkara ini,” katanya.